Masalah Telinga Berair

Ketika kecil, arwah nenek sering berpesan supaya berhati-hati setiap kali mengorek telinga kerana bimbang akan mencederakan gegendang yang boleh mengakibatkan kehilangan pendengaran.

Pesanan itu menimbulkan rasa takut dan meninggalkan kesan apabila sentiasa berwaspada ketika mengorek telinga meskipun sudah dewasa.

Telinga perlu dijaga dan dilindungi daripada bahaya supaya sihat serta boleh berfungsi dengan baik. Ini kerana terdapat dua kepentingan anggota berkenaan iaitu untuk pendengaran dan keseimbangan.

Bagaimanapun, perlu diketahui jika seseorang itu sering mengalami masalah telinga berair dalam lebih dari dua minggu, diingatkan agar tidak memandang mudah perkara berkenaan.

Ini kerana ia salah satu simptom penyakit kanser telinga terutamanya yang berumur lebih 40 tahun. Mereka yang mengalami telinga berair lebih 10 tahun juga lebih berisiko mendapat kanser di bahagian tengah anggota terbabit.

Pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) Hospital An Nur, Dr Abdul Halim Shibghatullah mengulas lanjut mengenai penyakit berkenaan disifatkan jarang berlaku jika dibandingkan dengan penyakit kanser lain.

Beliau berkata, boleh dikatakan hanya satu daripada sejuta orang disahkan mengalami penyakit berkenaan.

“Kanser telinga boleh terjadi pada telinga atau berpunca dari bahagian lain iaitu di kawasan berhampiran dengan bahagian telinga dan seterusnya memberi kesan kepada anggota pendengaran ini.

“Sebagai contoh kanser di bahagian parotid (kelenjar air liur yang ada di hadapan telinga) boleh menyebabkan kanser berkenaan menekan dan merebak pada telinga yang seterusnya memberi kesan kepada anggota ini.

“Kanser daripada pangkal hidung (bahagian nasofarinks) juga boleh merebak ke telinga melalui saluran Eustachia,” katanya.

Dr Abdul Halim berkata, kanser telinga biasanya membabitkan cuping telinga yang diliputi kulit iaitu sebahagian daripada sistem kulit pada tubuh. Umum mengetahui, keseluruhan badan manusia diselaputi kulit yang boleh menyebabkan kanser tetapi risiko di bahagian kulit cuping telinga hanyalah sekitar lima hingga 10 peratus.

“Dalam kalangan 100 pesakit kanser kulit, hanya lima hingga 10 pesakit yang mengalami kanser kulit pada bahagian cuping telinga,” katanya.

Ditanya apakah simptom lain kanser telinga, beliau berkata, seseorang akan mengalami masalah pendengaran, sakit dalam telinga, telinga berdesing dan vertigo (terasa persekitaran berpusing-pusing)

Katanya, otot muka boleh menjadi lemah kerana saraf muka melalui kawasan telinga dan menjalar ke muka. Apabila kanser merebak, ia menekan dan ‘menyusup’ ke saraf muka menjadikan otot muka lemah dan senget sebelah.

Sehingga kini, masih tidak diketahui punca sebenar penyakit kanser telinga tetapi lazimnya tabiat merokok dan faktor umur seperti penyakit kanser lain.

Katanya, kaedah rawatan bergantung kepada tahap kanser dihidapi pesakit, saiz kanser, umur dan tahap kesihatan mereka.

“Sekiranya penyakit ini dikesan pada peringkat awal pembedahan adalah kaedah rawatan utama. Bagaimanapun sekiranya selepas pembedahan kanser masih tidak dapat dikeluarkan kesemuanya rawatan lain akan diteruskan seperti radioterapi ataupun kemoterapi,” katanya.

Dr Abdul Halim berkata, ada pesakit yang dikesan kansernya sudah merebak ke organ lain, jadi mereka hanya perlu membuat rawatan kemoterapi paliatif.

“Kemoterapi paliatif adalah kaedah rawatan bukan untuk menyembuhkan penyakit tetapi mengawal dan melambatkan pertumbuhan sel kanser,” katanya.

Manakala kaedah pembedahan bergantung di mana kanser itu berada, contohnya jika di cuping telinga, pembedahan akan membuang bahagian terbabit dengan kanser dan pembedahan biasanya tidak memerlukan bantuan mikroskop.

“Sebaliknya sekiranya kanser membabitkan saluran telinga atau bahagian telinga tengah atau telinga dalam, sudah tentu pembedahan lebih mencabar dan memerlukan bantuan mikroskop dan alatan lain.

“Penyakit ini diklasifikasikan kepada peringkat pertama hingga empat dan boleh menyebabkan kematian jika sel berkenaan sudah merebak ke organ lain dalam,” katanya.

Tidak cukup diuji dengan kesakitan, pesakit berhadapan risiko kehilangan pendengaran sekiranya kanser menyerang di kawasan telinga tengah dan dalam kerana menjejaskan koklea.

Pesakit tidak perlu gusar kehilangan pendengaran jika kanser peringkat awal dan berlaku di bahagian cuping kerana masih boleh dirawat dengan sempurna.

Telinga terdiri daripada tiga bahagian

Telinga luar terdiri daripada pina dan salur telinga.

Telinga tengah terdiri daripada tiga tulang kecil yang dipanggil tukul, andas dan rakap.

Telinga dalam terdiri daripada koklea dan salur separuh bulat.

Panduan menjaga pendengaran

Memakai alat perlindungan pendengaran apabila mengendalikan mesin jentera yang mengeluarkan bunyi kuat.

Mengurangkan bunyi iPod apabila memakai fon telinga.

Memakai alat perlindungan pendengaran jika menghadiri konsert.

Mengubah mod pembesar suara apabila menggunakan telefon bimbit.

Hi! jika anda baru pertama kali melawat blog ini, saya galakkan anda subscribe RSS feed blog ini untuk mendapat pelbagai maklumat terkini. Terima kasih kerana melawat blog mahsuri!


1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading ... Loading ...

Cerita Berkaitan yang Menarik di baca...

  • No Related Posts

What Do You Think?

62 views
Close
E-mail It