Rawatan Saraf Tingkatkan Kesihatan

Rawatan Saraf Tingkatkan Kesihatan

Kajian Mobiliti keempat yang dijalankan pelajar perubatan universiti tempatan menunjukkan tahap kesihatan rakyat Malaysia semakin menurun apabila golongan muda dalam usia 30-an ke atas cenderung mendapat penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Keadaan ini berbeza dengan masyarakat dulu apabila secara purata penyakit kronik mula dikesan ketika usia mencecah 50 tahun ke atas.

Kajian juga mendapati gaya hidup tidak sihat menjadi punca utama penyakit ini tanpa disedari. Peningkatan jumlah wanita berusia 25 hingga 35 tahun mendapat darah tinggi dewasa ini semakin serius. Golongan ini tidak menyedarinya sehingga menjalani pemeriksaan.

Keadaan ini dibuktikan oleh kajian Kementerian Kesihatan Malaysia dalam pelan Strategik Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia 2013-2017 yang menganggarkan 2.6 juta rakyat Malaysia menghidap kencing manis, 5.8 juta tekanan darahtinggi, 6.2 juta peningkatan kolesterol dan 2.5 juta obesiti. Ini menunjukkan rakyat Malaysia masih jauh ketinggalan dalam amalan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang.

Definisi gaya hidup sihat menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO 1948) apabila individu sentiasa kekal aktif dengan melakukan aktiviti fizikal atau bersenam secara sederhana selama 30 minit setiap hari. Mereka boleh juga berkebun, bermain badminton, berbasikal atau berenang. Selain itu, amalkan pemakanan seimbang dan pastikan berat badan sesuai dengan tubuh. Ini bermaksud setiap orang harus mengetahui indeks jisim tubuh (BMI) kerana ia menentukan sama ada berat badan kita bersesuaian dengan ketinggian.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Latiffah Abdul Latiff, apabila memperkatakan mengenai gaya hidup sihat, apa yang penting adalah mengubah corak pemakanan.

Diketahui Malaysia kaya dengan pelbagai juadah enak bermula daripada sarapan, makanan tengah hari sehingga ke makan malam. Ini ditambah dengan pelbagai perayaan sehingga menjadikan Malaysia sebagai pesta makanan. Biasanya rakyat makan apa saja di hadapan mereka tanpa memikirkan kesannya. Ia seakan-akan satu budaya apabila setiap waktu makan diisi dengan makanan berat berunsurkan karbohidrat. Jarang sekali atau amat sedikit individu memilih makanan berasaskan protein dan vitamin, jika ada mereka yang ingin berdiet.

“Ada pepatah mengatakan kita apa yang kita makan. Ini ada benarnya kerana masyarakat sesebuah negara akan menonjolkan diri mereka serta taraf pemikiran berdasarkan apa yang dimakan. Sepatutnya budaya makan banyak atau makan apa saja harus diubah kepada memilih makanan berkhasiat berdasarkan nilai kalori. Namun apa yang berlaku, kebanyakan individu makan melebihi apa yang diperlukan tubuh.

“Kesedaran yang sangat kurang mengenai nilai kalori dalam makanan menyebabkan individu tiada inisiatif melakukan senaman yang mampu membakar kalori daripada jumlah yang dimakan,” jelasnya.

Zaman dulu ibu bapa mengambil nasi pada waktu pagi, tengah hari dan malam kerana mereka melakukan kerja berat di kebun, sawah dan ladang jadi pembakaran kalori berlaku sepanjang masa.

Kini, kebanyakan individu bekerja di pejabat dengan bilik berhawa dingin dan memandu kereta sendiri. Tiada pergerakan membabitkan anggota badan berlaku kerana ramai gemar menaiki lif berbanding tangga, oleh itu pembakaran kalori tidak berlaku.

Sudah tentu nasi tidak lagi signifikan dijadikan makanan asas bagi sesetengah golongan terutama mereka yang berpenyakit kencing manis. Alternatif lain harus diambil misalnya mengambil salad sayuran atau buah-buahan segar. Tetapi berapa ramai yang mampu mengalas perut hanya dengan makan salad atau buah-buahan?

“Ramai mengakui sukar sedangkan untuk membuang tabiat pengambilan nasi lemak pada waktu pagi juga tidak boleh, inikan pula tidak makan nasi dan menggantikannya dengan salad. Tetapi sebenarnya kita mampu melakukannya asalkan ada keinginan untuk menjalani kehidupan sihat tanpa penyakit. Sebab itu saya rasa penting memberi pendidikan kepada anak-anak sejak di tadika mengenai nilai kalori makanan supaya mereka membesar menjadi manusia yang bijak, cergas dan sihat,” ujarnya.

Selain pemakanan, kurang bersenam juga antara punca obesiti serta penyakit kardiovaskular yang lain. Ini kerana ramai beranggapan senaman perlu dilakukan di gimnasium tetapi sebenarnya tidak. Senaman boleh dilakukan di mana-mana saja seperti di rumah, taman permainan atau kawasan lapang.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan, berjoging, berbasikal atau melakukan senamrobik setiap 30 minit selama tiga kali seminggu. Ini membolehkan jantung bergerak dan mengepam darah ke seluruh tubuh. Bersenam pula perlu dilakukan dengan cara yang betul kerana ia dapat mengurangkan risiko kanser.

Banyak kajian yang dijalankan mengesahkan tahap kecergasan yang rendah akan meningkatkan risiko mendapat sesetengah jenis kanser. Ia juga mengurangkan risiko penyakit jantung, mencegah obesiti, kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi.

“Menerusi senaman, kecekapan fungsi organ dalam tubuh turut meningkat. Seperti paru-paru yang lancar mengambil oksigen dari udara, jantung dapat meningkatkan pengaliran darah ke seluruh tubuh manakala mengurangkan kesakitan sendi dan ketegangan,” katanya.

Bersenam dan menjaga pemakanan juga dapat mengelak daripada diabetes yang menjadi punca segala penyakit. Kegagalan insulin berfungsi dengan baik menyebabkan kandungan lemak dalam darah meningkat sehingga salur darah menebal dengan lemak yang menyebabkan darah tinggi. Kebiasaan darah tinggi tidak menunjukkan sebarang tanda melainkan sakit kepala. Apabila salur darah pecah, ia menyebabkan strok.

“Salur darah yang sempit juga menyebabkan keupayaan jantung mengepam darah menjadi sangat kuat. Lama-kelamaan apabila keupayaan jantung berkurangan, ia akan menyebabkan lemah jantung,” katanya.

Pergerakan ini boleh dilakukan di mana-mana. Antara aktiviti seharian yang boleh dikategorikan sebagai senaman termasuk menggunakan tangga berbanding lif di tempat kerja, bergerak berjumpa rakan berbanding menggunakan telefon, meregangkan badan ketika menonton televisyen, bermain basikal dengan anak di rumah atau mengelap lantai dan tingkap serta menyapu sampah dan berkebun.

Elak amalan makan secara bufet

Menyedari Malaysia kaya dengan pelbagai budaya dan perayaan, sudah pasti terdapat kepelbagaian jenis makanan ditandai setiap kaum. Untuk itu, menjadi kebiasaan individu makan dengan banyak seolah-olah ingin merasa semua jenis makanan terutama berkonsep bufet.

Apa yang boleh dilakukan adalah menukar kepada amalan lebih sihat dengan memperbanyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam makanan. Jauhi makanan banyak minyak atau santan. Buah-buahan tempatan memberikan khasiat tinggi berbanding buah diimport. Lebihkan pengambilan air sekurang-kurangnya tiga liter sehari atau lapan gelas air masak ketika cuaca panas.

“Sudah tiba masanya masyarakat memilih salad dan buah-buahan segar sebagai snek, namun amat jarang sekali individu melakukannya. Apa yang sering dihidangkan adalah makanan banyak marjerin serta lauk-pauk berlemak dan berminyak,” katanya.

Kesimpulannya, amalan gaya hidup sihat bukan saja penting kepada mereka yang berpenyakit sebaliknya harus diketahui dan diamalkan oleh mereka yang masih sihat agar terhindar daripada penyakit yang tidak diingini.

Ingat tujuh perkara asas dalam amalan gaya hidup sihat seperti kekal aktif dengan melakukan aktiviti fizikal 10,000 langkah sehari. Mengamalkan makanan seimbang serta mendapatkan berat badan ideal (BMI), jauhi rokok dan arak serta mendapatkan tidur mencukupi.

“Sekiranya semua perkara ini dijaga baik maka individu itu sudah mengamalkan gaya hidup sihat. Amalan ini bergantung kepada diri, terpulang cara mereka menyayangi diri mereka,” ujarnya.

Technorati , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Hi! jika anda baru pertama kali melawat blog ini, saya galakkan anda subscribe RSS feed blog ini untuk mendapat pelbagai maklumat terkini. Terima kasih kerana melawat blog mahsuri!


1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading ... Loading ...

Cerita Berkaitan yang Menarik di baca...

Comments are closed.

2,921 views
Close
E-mail It