Penyakit Kanser @ Barah
Kanser atau barah merupakan salah satu punca utama kematian manusia yang dihidapi oleh berjuta-juta individu di serata dunia. Lebih kurang 7.5 juta pesakit meninggal dunia akibat kanser setiap tahun. Gambaran ini lebih suram sekiranya kita mempertimbangkan bahawa menjelang 2030, kanser dijangka menyebabkan kira-kira 12 juta kematian setiap tahun.
Di Malaysia, kanser dilaporkan sebagai punca kematian awal ketiga paling utama di kalangan masyarakat negara ini, dan kajian menunjukkan bahawa 10 peratus daripada penduduk terdedah kepada ancaman kanser sebelum mencecah usia 75 tahun.
Namun begitu, masih terdapat sinar harapan di sebalik statistik yang membimbangkan ini.
Bidang yang dinamakan genomik (pengajian genom) menjadi kunci kepada usaha untuk mengesan penyakit ini di peringkat awal, menghasilkan prognosis dan diagnosis yang boleh mengubah kehidupan penghidap kanser. Matlamat utama sudah tentunya untuk mencari ‘penawar’ kepada penyakit yang membawa maut ini. Apa yang diperlukan hari ini adalah pendekatan berkesan untuk mengenal pasti individu yang lebih cenderung menghidap kanser.
Apakah sebenarnya genomik? Untuk menjawab soalan ini, pertamanya kita perlu memahami bahawa semua sel hidup mengandungi DNA. DNA ialah singkatan bagi Asid Deoksiribonukleik (DeoxyriboNucleic Acid) yang menyimpan semua maklumat genetik sesuatu organisma yang diturunkan daripada ibu bapa kepada anak mereka. Secara ringkas, genomik adalah rangka genetik bagi semua jenis hidupan. DNA turut mengandungi bahagian yang menentukan rupa dan fungsi kita – segmen ini dipanggil gen. Kita mewarisi gen daripada kedua ibu bapa, dan gen ini menentukan ciri yang diwarisi – termasuk warna mata, jenis darah dan sama ada kita boleh menggulung lidah atau tidak.

Hi! jika anda baru pertama kali melawat blog ini, saya galakkan anda subscribe RSS feed blog ini untuk mendapat pelbagai maklumat terkini. Terima kasih kerana melawat blog mahsuri!
